Isnin, 22 September 2008

Menuju Keredaan Allah

LAILATUL QADAR

Di antara malam-malam Ramadan, terdapat satu malam yang dikenali sebagai lailatulqadar, satu malam yang mempunyai keberkatan yang teramat besar. Dalam al-Qur'an ia dinyatakan sebagai mempunyai keberkatan dan kelebihan rohaniah yang lebih besar daripada seribu bulan. Pada malam itu Allah subhanahu wata'ala menganugerahkan keberkatan, kemuliaan, kerahmatan dan kesejahteraan khususnya kepada umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh memperolehi apa yang dianugerahkan Allah pada malam lailatulqadar itu.
Firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Qdar ayat 1 - 5 yang maksudnya:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur'an) pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam lailatul qadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
Sesungguhnya malam lailatulqadar itu penuh dengan janji-janji Allah subhanahu wata'ala kerana sifat rahman dan rahim-Nya yang ditentukan kepada orang-orang beriman yang sanggup dan bersungguh-sungguh menghidupkan malam itu dengan mengerjakan amal ibadah dengan harapan agar dapat menemukan malam yang penuh keberkatan itu. Pada malam itu Allah subhanahu wata'ala akan melipatgandakan pahala amalan hamba-hamba-Nya yang ikhlas mencari keredaan-Nya.
Pada malam tersebut, jika ditakdirkan oleh Allah subhanahu wata'ala ibadah yang dilakukan bertepatan dengan masa lailatulqadar itu, maka pahala yang bakal diperolehi akan berlipat ganda, sehingga ibadah pada malam itu lebih besar pahalanya dari ibadah selama seribu bulan, sebagaimana firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Qdar ayat 3 yang bermaksud:
"Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan."
Kenapakah malam lailatulqadar itu disifatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan? Allah subhanahu wa- ta'ala menjelaskan perkara ini dengan firman-Nya dalam surah al-Qdar, ayat 4 - 5 yang maksudnya:
"(Pada malam itu) diturunkan malaikat dan jibrail dengan izin Tuhan. Kerana mereka dapat mengatur setiap pekerjaan, sehingga selamat sejahtera (malam itu) hingga terbit fajar."
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Imam al-Nasa'ie daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
"Telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Allah 'Azzawajalla telah mewajibkan ke atas kamu supaya berpuasa padanya. (Pada bulan itu) dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka serta dimasukkan ke dalamnya syaitan-syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak diberikan kebaikannya, maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebaikan."
Menurut pendapat yang sahih, malam atau masa lailatulqadar ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan ianya berpindah-pindah dan berubah-ubah sebagaimana hadis riwayat al-Imam at-Tirmizi, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
"Carilah dengan bersungguh-sungguh malam lailatulqadar itu pada hari kesembilan daripada baki (bulan Ramadan), tujuh, lima atau tiga hari malam terakhir (dari bulan Ramadan)."
Dalam sebuah hadis yang lain riwayat al-Imam at-Tirmidzi, dari Sayidatina Aisyah
radiallahuanha katanya yang bermaksud:
"Bahawasanya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam yang akhir (dari bulan ramadan), berbanding dengan malam-malam lainnya."
Oleh kerana hadis-hadis tersebut adalah umum, maka lailatulqadar itu tidaklah dapat ditentukan masa atau ketikanya dengan tepat, hanya kita diarahkan supaya mencari saat tersebut dengan memperbanyakkan ibadat pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah radiallahu- anhu bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
"Barangsiapa mengerjakan ibadat di malam lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaan-Nya, nescaya diampunkanlah dosanya yang telah lalu."
Hadis ini menunjukkan bahawa ibadat yang dilakukan pada malam lailatul-qadar besar ganjarannya. Oleh yang demikian beruntunglah bagi sesiapa yang menjumpai lailatulqadar itu. Keuntungan yang diperolehinya adalah besar dan tidak ternilai harganya.
Orang-orang yang beramal ibadat pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan sama ada sedikit ataupun banyak adalah tergolong dalam golongan orang yang berusaha untuk mendapatkan lailatulqadar.


Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, sehingga kelebihan lailatulqadar itu tetap diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal ibadat sekalipun amalan yang dikerjakannya itu hanya sedikit. Oleh kerana keikhlasannya terhadap Allah subhanahu wata'ala, maka pahala dan kelebihan itu tetap diperolehinya. Beramal hanya kerana Allah semata-mata di malam hari itu haruslah juga diteruskan di siang hari. Jadikanlah siang dan malam itu sebagai masa yang diamanahkan untuk beribadat kepada Allah subhanahu wata'ala.

Tiada ulasan: