Jumaat, 30 Januari 2009

Mantap atau Mantop?


" Satu persembahan yang cukup menghiburkan". Satu persembahan yang mantop". Itulah perkataan yang saban minggu dilontarkan oleh pengkritik Pertandingan Raja Lawak, En Shamsul Ghau-Ghau baunya. Impak penggunaan perkataan "mantop" telah menjadi mainan, siulan dan kata-kata oleh kanak-kanak di Sek.Rendah. Apa komen pakar bahasa? Apakah perkataan ini boleh di"lawakkan"? Perkataan "mantop" tidakpun wujud dalam Kamus Dewan. Manakala perkataan Mantap menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, "tabah hati, tetap fikiran, tetap setia, tidak berubah-ubah, stabil"

Khamis, 29 Januari 2009

Sekadar Bicara Jumaat 3 Safar 1430


Seperti biasa, setiap hari Jumaat aku dan suami ke Pasar Tani Kuala Besut. Mungkin ada yang perasan kehadiran kami, mungkin juga tidak. Seorang lelaki tinggi kurus, berkaca mata bulat, bermisai dan seorang wanita gemuk pendek dan berselipar tumit tinggi. Aiman tak kisah apa orang nak kata. Aiman juga tak pentingkan status. Apa yang penting, apa yang kita mahu, semuanya ada. Dari yang sekecil-kecil cili padi sehingga yang sebesar-besar ubi badak.


Seperti biasa, kami membeli ikan kerisi 2 kilo (RM 20), ikan cermin 1 kilo (RM 16), ikan tenggiri (sebelah RM 15), ikan cencaru 1 kilo (RM 8), sotong 1 kilo (RM 12) dan seekor ayam. Semua itu cukup-cukup seminggu untuk dimasak.


Sebenarnya jika dihitung ditolak dan dibahagikan lebih kurang sahaja membeli yang basah dengan membeli lauk yang telah siap dimasak. Cuma aku tidak sanggup untuk menjelajah dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari lauk yang kena selera dengan kami anak beranak.

(Ikan cermin masak kicap seenak rasa, Tomyam Midol, Sweet sour bertatah kulat Au, Ayam masak pedas berdaun kari) Itulah masakan atau menu yang selalu menjadi hidangan kami yang direka sendiri.


Adakah kekanda Za, adinda Lah, Jam, Rah, Bi, Nur, Kak Zie Hanim, cg. Rohani ingin mencuba?


Isnin, 26 Januari 2009

Blog Oh Blog

Apa itu blog? pernah saya kemukakan pertanyaan kepada adinda Lah satu ketika. Katanya, blog ialah Laman Weblah!! Pernah juga saya melayari blog kekanda Za berkaitan dengan blog. Dengan gaya penulisan dan bahasa yang teratur, saya semakin faham apa itu blog, apa itu bloggers. Saya juga amat tertarik dengan tulisan saudara Roosfa Hashim berkaitan dengan blog melalui tulisannya bertajuk " Melahirkan bloggers bertanggungjawab" , muka surat 10 Mingguan Malaysia (Ahad 25 Januari 2009) yang lalu. Antara lain petikannya ialah:

i- Blog atau internet ialah aset penting bagi menyampaikan maklumat yang pantas dan menjadi pra syarat bagi keupayaan negara bersaing dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Blog jangan dimusuhi dan jangan pula disalahgunakan.

ii- Penulis blog mestilah bersikap jujur dan adil dalam mengumpul, melapor dan menafsir sesuatu maklumat.

iii- Menjadi bloggers memerlukan disiplin yang tinggai, perlu beretika menulis secara berterusan dan tetap, bukan muncul sekali sekala.

iv- Penulis patut menulis sesuatu yang menggalakkan kehidupan yang berakhlak, adil, bebas, selamat, bersih dan beradab.

Bagi saya pula, perasaan ingin menulis sentiasa wujud, tetapi agak terbantut kerana penulisan yang tidakkreatif, bahasa tunggang-langgang, kurang menghiburkan sekadar untuk suka-suka. Paling penting "orang ada blog, kitapun ada blog". Sekurang-kurangnya boleh menghibur hati sendiri.hehehe

Jumaat, 23 Januari 2009

Dulu Lain Sekarang Lain

Dulu lain sekarang lain. Ungkapan keramat yang kerap kita dengar dan gunakan. Sememangnya serba-serbi dulu tak serupa dengan lening. Dulu masa sekolah rendah, bawa duit 20 senpun dah boleh beli serba serbi. Tapi lening?

Masih ku ingat, dulu nak tonton tv amat susah. Adik beradik nak gi rumah orang kaya cikgu Yusof, ayah Azizah masing-masing bertolak-tolak nak minta izin. Itupan hanya 1 kali dalam seminggu . Nak tonton cerita melayu malam Sabtu. Tapi lening? anak-anak kita lebih dari 7 kali sehari tonton tv. Tak kira masa, tak kira cerita.

Dulu, pelajar-pelajar amat hormat, segan, berlemah lembut dengan guru. Tak pernah sedetikpun memperlekehkan guru. Tapi pelajar lening pandai menilai guru best tak best.

Dulu, pergi ke mana sahaja, hutan rimba, bukit bukau ibu bapa tak rungsing dan tak kisah. Tapi sekarang? Ibu bapa menghantar dan menjemput pulang anak-anak dari sekolah di depan pintu pagar sekolah. Bezanya dengan dulu..

Selasa, 20 Januari 2009

Sekadar Hiburan Untuk Mengubat hati lara..

Lepas basuh pinggan, ikut abah pergi masjid," kata abah separuh memerintah. Aku memandang kepada emak. Emak angguk sahaja. Maksudnya emak mahu aku ikut abah solat subuh ke masjid. Jangan melawan. Nampaknya, aku kena batalkan niat untuk sambung tarik gebar selepas kenyang bersahur. Aku bonceng di belakang. Kami tidak pakai helmet. Kopiah sahaja. Ganjil. Dalam cahaya suram menjelang subuh, aku lihat kubah masjid berada di tanah. Bukan di bumbung masjid. Ajaib. Abah macam tidak nampak keganjilan itu. Mata ku terpaku pada kubah masjid, kagum dan jari jemari ku sedikit mengigil kerana rasa kagum yang amat sangat. Aku cuit bahu dia dan tunjukkan ke arah kubah yang berada di tanah. Mungkin kubah itu tengah sujud fikir aku."Kenapa?" tanya abah. "Lailatuqadar," kata aku dengan jari masih menunjuk kepada kubah... "Berapa lama engkau tak ke masjid!!?" Tidak pasal-pasal aku kena marah. Rosak pengalaman suci aku ini. "Dia orang tengah renovate masjid la. Bumbung masjid bocor... Pasal tu kubah tu dia orang angkat letak kat tanah," sambung abah lagi. Kalau emak ada di sini tentu dia ketawakan aku. Terima sahajalah. Jangan melawan. Kadang-kadang abah lupa yang aku tidak duduk kampung lagi. Aku cuma pulang untuk cuti raya.

Sabtu, 10 Januari 2009

Apa-Apa Aje.....

'Semenjak dua menjak' ini hati digamit pilu.Tak tahu punca. Mungkin kesan psikologi melihat kanak-kanak yang menjadi mangsa korban dalam serangan
Israel di Gaza iaitu kira-kira 1 daripada setiap 3 orang yang terbunuh. Malah semua peringkat usia, rakyat Palestin menderita sengsara akibat kekejaman Israel.

Mungkin juga kesedihan akhir-akhir ini akibat melihat dan memerhatikan gelagat pelajar-pelajar dalam kelas yang ku ajar. Betapa dangkalnya pemikiran mereka. Belum matang dalam memikirkan soal-soal kehidupan. Soal-soal masa depan yang mencabar. Masih lagi dibuai mimpi, leka, tidak serius dalam belajar. Sedih bila terbayang keringat ibu bapa mereka membanting tulang bekerja membesarkan mereka. Rata-rata kebanyakkan ibu bapa adalah petani. Wahai pelajar 5 Arif! sedarlah, insaflah! Cubalah serius dalam belajar hanya untuk beberapa bulan sahaja. InsyaAllah, masih belum terlambat mengejar kejayaan..

Khamis, 8 Januari 2009

Luahan Rasa Secubit Suka..

Sedikit terkilan apabila membuka tugasan 2009. Rasa jiwa ini begitu sebati dengan urusan-urusan Peperiksaan. Mungkin kerana sudah lama dengan hal-hal begitu, tahun ini saya ditugaskan untuk menerajui Kebersihan Sekolah. Dari segi luaran, kebersihan sekolah nampaknya telah bersih. Tidak perlu difikirkan lagi. Tidak ada bebanan tugas yang banyak. Pekerja Swasta saban hari membersih dan menyapu. Saya lebih suka bekerja sendirian. Bila habis sahaja peperiksaan(tak kiralah peperiksaan apapun) pasti Analisis akan segera menyusul. Entahlah mungkin pihak Pengurusan Sekolah merasakan perlu melatih orang lain. Ataupun mungkin dirasakan saya berkemampuan untuk membawa 'kelainan' atau'kejutan' dalam hal-hal kebersihan. Kalau betullah sangkaan saya (Husnul Zon) alhamdulillah, saya akan lakukan setakat terdaya. Akan tetapi jika dirasakan, tahap mutu kerja saya menurun dan perlu diganti, rasa sedikit sedihlah...Apa-apapun selamat bertugas semua guru. Laksanakanlah tugas dengan penuh amanah.....

Khamis, 1 Januari 2009

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 dan Tahun 2009

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 dan Tahun 2009

Pejam celik-pejam celik, tahun 2009 telah membuka tirai. Cepatnya masa berlalu. Kemunculan tahun baru seharusnya menjentik minda kita memikirkan atau bermuhasabah diri apa yang telah kita lakukan. Adakah amalan kita bertambah? Adakah kita telah menggalas tanggungjawab dengan amanah? Adakah sebagai seorang guru atau apa-apa kerja sekalipun, kita betul-betul tidak amalkan rasuah masa? Apa yang pasti bagi saya,amalan seperti biasa, tidak berlebih berkurang. Pastinya yang jelas nampak bertambah ialah umur dan berat badan. Dari 50 kg,jadi 70 kg..

Kalam Bicara Cahaya Purnama kembali memeriahkan dunia blog, setelah lama 'mendiamkan' diri. Rindu pada semua tidak terkata. Selamat Tahun Baru buat Abg Endy,kak za, adik Lah, Mizi, Jam, Amir, Rah, Din, Bi, Zul,Yoh, Ina,Nur,Jamal, Uzaini, Auzan,Pak Kit dan untuk Mama tersayang....juga buat kak zie sekeluarga, rakan-rakan guru si SABK Maarif( Cikgu Ani,Nora,Tini dll)